Sentimen berhati-hati jejas dagangan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen berhati-hati jejas dagangan ringgit




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan sentimen berhati-hati akibat ketidaktentuan prospek harga minyak serta pakej rangsangan ekonomi oleh Washington.

Pada 6 petang, mata wang tempatan di paras 4.1480/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1415/1465 pada Isnin.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata peniaga lebih berhati-hati selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama Peringkat Menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) secara maya pada awal hari ini, berakhir tanpa sebarang keputusan muktamad membabitkan pengurangan bekalan minyak.

"Harga minyak itu adalah antara perkara yang terus mempengaruhi pergerakan ringgit sehinggalah terdapat keputusan atau isyarat jelas OPEC mengenainya.

"Saya sendiri tidak pasti mengapa OPEC tidak menyatakan sebarang pendirian setakat ini. Namun, berikutan penularan pandemik COVID-19 yang masih ada, harga minyak juga kekal suram," katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, harga minyak mentah yang juga penanda aras global - Brent dan West Texas Intermediate masing-masing susut pada AS$42.41 dan AS$40.69 setong.

Menurut Innes, faktor lain adalah pakej rangsangan ekonomi AS menjelang pemilihan Presiden negara itu yang juga masih belum dapat dipastikan pada masa ini.

"Bagi saya, faktor lain yang sebaliknya boleh menjadi pendorong (kenaikan ringgit) adalah Kongres Parti Komunis China tidak lama lagi. Saya jangkakan Presiden Xi Jinping akan memperkenalkan langkah-langkah bagi meningkatkan lagi aspek penggunaan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali euro dan dolar Singapura.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0561/0624 daripada 3.0517/0556 pada Isnin dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3754/3861 daripada 5.3819/3900 sebelum ini.

Unit tempatan itu naik berbanding yen Jepun kepada 3.9291/9369 daripada 3.9308/9367 dan susut berbanding euro kepada 4.8963/9062 daripada 4.8679/8755.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini