Belanjawan 2021 pacu kenaikan saham, ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Belanjawan 2021 pacu kenaikan saham, ringgit



KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 memacu pasaran saham tempatan serta pergerakan ringgit untuk ditutup tinggi pada akhir sesi dagangan harian.

Impak positif belanjawan tahunan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam menyaksikan Bursa Malaysia ditutup pada paras tinggi harian kepada 1,519.64 mata.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi 1.21 peratus atau 18.15 mata berbanding ketika dibuka pada 1,500.80.

Ketika pembentangan bajet tahunan negara dimulakan sekitar jam 4 petang, Bursa Malaysia berada pada paras 1,512.98 mata sebelum melonjak 6.66 mata kepada 1,519.64 dalam tempoh kurang sejam sebelum sesi dagangan melabuh tirai.

FBM KLCI berlegar sekitar 1,497.32 hingga 1,519.64 sepanjang sesi dagangan.

Pada sesi dagangan hari ini, kaunter untuk mengatasi rugi 624 kepada 469, sementara 436 kaunter tidak berubah, 613 tidak didagangkan dan 40 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 7.67 bilion saham bernilai RM4.67 bilion berbanding 6.92 bilion unit bernilai RM3.89 bilion yang dicatatkan semalam.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata sentimen susulan pembentangan Belanjawan 2021 sangat positif memandangkan ia adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Katanya, antara faktor positif memacu Bursa Malaysia adalah peruntukan sebanyak RM15 bilion untuk projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo dan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 1 memberi peluang kepada syarikat pembinaan tersenarai yang sebelum ini terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali aktif.

"Peruntukan infrastruktur adalah antara intipati yang boleh menarik minat pelabur asing ke dalam negara kerana ia adalah aktiviti yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

"Selain itu, fokus terhadap digitalisasi dan automasi adalah perkara yang boleh menarik minat pelabur asing kerana pada era pandemik ini, digitalisasi amat penting terutamanya untuk menjalankan apa-apa urusan perniagaan," katanya.

Selain pasaran ekuiti, ringgit turut meraih kesan positif daripada pembentangan Belanjawan 2021 apabila mengukuh berbanding Amerika Syarikat (AS) kepada 4.1275/1325 ketika ditutup hari ini.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata ringgit mencecah paras paras paling kukuh dalam tempoh tujuh minggu berbanding dolar AS, sebagai tindak balas positif ke atas pembentangan Belanjawan 2021 ketika ia dibentangkan Tengku Zafrul.

"Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar dasar Semalaman (OPR) pada awal minggu sejajar dengan jangkaan pasaran dan ia membantu mengekalkan prestasi ringgit dalam tempoh berkenaan," katanya.

Tan berkata, kejutan positif dalam data ekonomi Malaysia bagi minggu dagangan yang akan datang dengan pengeluaran industri pada September dan pengumuman suku ketiga pertumbuhan ekonomi Malaysia dapat menampung pemulihan ekonomi dan menawarkan sokongan untuk mata wang.
"Ekonomi domestik dijangka mengalami penurunan sebanyak 6.5 peratus suku ketiga yang mana ia lebih baik berbanding -17.1 peratus pada suku sebelumnya.

"Bagi minggu yang akan datang, dagangan ringgit akan meneroka lebih banyak kelemahan sementara menunggu perubahan besar dalam penentuan pilihan raya AS.

"Pengesahan kemenangan Joe Biden dijangka menyederhanakan nilai dolar AS, selain berpotensi didagangkan pada 4.11 seperti mana yang berlaku pada pertengahan September," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini