Pengambilan untung jejas momentum ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pengambilan untung jejas momentum ringgit




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang muncul selepas kenaikan kukuh yang dicatatkan semalam, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0670/0710 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis iaitu 4.0650/0700.

Jualan kebanyakannya direkodkan ketika sesi pembukaan, namun memandangkan sentimen pasaran masih kukuh, ringgit berjaya mengurangkan kerugiannya pada sesi petang.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit pada umumnya kukuh minggu ini disebabkan persekitaran luaran yang baik berikutan berita mengenai vaksin COVID-19, ditambah dengan kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar.

Walaupun begitu, katanya, data perdagangan yang menunjukkan eksport tumbuh dengan sederhana 0.2 peratus pada Oktober menunjukkan ekonomi pada suku terakhir tahun ini dijangka sederhana.
"Langkah semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) cenderung mempengaruhi momentum pemulihan.

"Oleh itu, kami menjangkakan beberapa pembetulan dalam ringgit kerana mata wang telah meningkat cukup tinggi baru-baru ini, di tengah-tengah pemulihan ekonomi," katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa lebihan dagangan Malaysia pada Oktober meningkat kepada RM22.12 bilion, meningkat dua angka iaitu 25.9 peratus tahun ke tahun dan mewakili lebihan perdagangan tertinggi bulanan.

MITI berkata, eksport mencecah RM91.05 bilion pada Oktober, meningkat 0.2 peratus berbanding bulan yang sama 2019, dan ia menjadi nilai eksport ketiga tertinggi yang dicatatkan setakat ini.
"Pertumbuhan ini disokong kebanyakan oleh eksport lebih tinggi ke AS, China, India dan United Kingdom," kata MITI dalam satu kenyataan.

Berbanding mata wang lain, ringgit didagangkan lebih lemah.

Mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0380/0431 daripada 3.0365/0405 pada Khamis dan melemah berbanding yen kepada 3.9083/9133 dari 3.8982/9041 semalam.
Ringgit juga menyusut sedikit berbanding pound British kepada 5.4319/4389 dari 5.4308/4391 semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.8479/8543 dari 4.8382/8457 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini