Presiden Joe Biden ikrar satukan rakyat AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Presiden Joe Biden ikrar satukan rakyat AS


WILMINGTON: Presiden Joe Biden semalam, berjanji menyatupadukan rakyat Amerika Syarikat (AS) dan berusaha menghentikan perpecahan selepas meraih kemenangan yang disifatkan 'meyakinkan'.

"Ini adalah masa pemulihan di AS. Saya berjanji menjadi presiden yang berusaha untuk tidak memecahbelahkan," katanya.

Beliau yang sangat riang itu mengetengahkan perbezaan nyata dengan polarisasi bekas Presiden Donald Trump hampir empat tahun, di hadapan penyokong di kawasan kediamannya di Wilmington, Delaware.

Mengutarakan kekecewaan penyokong Trump, Biden berkata: "Mereka bukan musuh kita. Mereka adalah rakyat AS. Biarkan era sukar di AS tamat sekarang.

"Saya mahu memulihkan jiwa rakyat, membina kembali tunjang negara ini, golongan pertengahan dan menjadikan AS kembali dihormati di seluruh dunia," katanya.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden kepada Barrack Obama turut memberi penghormatan khas kepada komuniti Afrika-Amerika kerana melantik beliau sebagai calon Demokratik menentang Trump.
Biden dilihat optimis ketika bercakap kepada khalayak selepas diperkenalkan Naib Presiden, Kamala Harris sambil diiringi laungan Bruce Springsteen 'Kita Jaga Kita'.

"Rakyat negara ini sudah bersuara. Mereka memberikan kemenangan yang jelas dan meyakinkan," katanya.

Sementara itu, penyokong Trump yang menolak keputusan pilihan raya Presiden itu menyifatkan ia sebagai satu penipuan serta konspirasi.

Di Phoenix, Philadelphia dan Atlanta, penyokong setia Trump berhimpun dengan melaungkan slogan '#Hentikan Penipuan', sekali gus mengulangi tuduhan tidak berasas bekas Presiden itu yang mendakwa kemenangan itu satu penipuan.

Mereka mengenakan topi Trump berwarna merah, memegang papan tanda 'Hentikan Penipuan' dan mengibarkan bendera AS, selain sepanduk dengan slogan 'Kekalkan kehebatan Amerika'. 



Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini