Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini selepas bergerak tinggi semalam, didorong oleh sentimen positif selepas Parlimen meluluskan Belanjawan 2021.
Mata wang dolar meraih sedikit momentum berbanding mata wang utama lain dalam urus niaga yang lengang berikutan cuti Hari Kesyukuran dengan indeks dolar melantun melepasi paras 92, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9.00 pagi, mata wang tempatan dibuka agak rendah pada 4.0670/0720 berbanding dolar AS daripada 4.0650/0700 ketika ditutup petang semalam.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata urus niaga ringgit/dolar nampak mengukuh selepas Belanjawan 2021 diluluskan dengan undi suara di peringkat dasar semasa persidangan Dewan Rakyat semalam, walaupun terpaksa mengharungi sesi perdebatan yang hangat sebelum itu.

Ini pastinya akan menjelaskan beberapa ketidakpastian dan seterusnya mendorong ke arah pemulihan ekonomi yang lebih menyakinkan tahun hadapan, kata beliau.
"Dengan belanjawan pengembangan dan dasar monetari yang akomodatif serta prospek daripada sektor luaran, kalau dilihat, tinjauan ke atas ringgit agak baik.

"Namun, beberapa pembetulan masih lagi dijangka kerana nilai ringgit telah bergerak agak banyak sejak kebelakangan ini," kata beliau.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan agak rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Unit tempatan menyusut berbanding dolar Singapura pada 3.0380/0420 berbanding 3.0365/0405 ketika ditutup pada petang Khamis dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8446/8522 daripada 4.8382/8457.

Berbanding yen pula, ringgit jatuh kepada 3.9053/9112 daripada 3.8982/9041 tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4299/4369 daripada 5.4308/4391 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini