Kelulusan Belanjawan 2021 lonjak harga saham, nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Kelulusan Belanjawan 2021 lonjak harga saham, nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan dan ringgit meraih suntikan daripada kelulusan Belanjawan 2021 di Parlimen apabila mencatat prestasi positif ketika mengakhiri dagangan.

Bursa Malaysia ditutup atas paras halangan 1,600 mata setelah meningkat 14.53 mata kepada 1,612.11 mata, berbanding ketika dibuka 1,597.69 pagi tadi.

Melihat kepada perkembangan sesi dagangan harian, Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mempamerkan prestasi amat positif pada sesi dagangan petang susulan pelabur menantikan perkembangan sesi undian Belanjawan 2021.

Pada sesi dagangan kedua yang bermula jam 2 petang, FBM KLCI berada pada sekitar 1,600 mata sebelum melonjak kepada 1,609.14 sekitar jam 3 petang.

Pasaran saham tempatan bagaimanapun sedikit merosot kepada 1,606.70 ketika perbahasan hangat dalam Parlimen pada kira-kira jam 3 petang sebelum kembali melonjak kepada 1,610 mata.

Pemerhati pasaran berkata, Bursa Malaysia seperti mendapat 'tonik' daripada ucapan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan sesi dagangan bersambung dari rehat sesi pagi apabila melepasi paras 1,600 mata untuk berada pada sekitar 1,610 mata pada jam 4 petang, sebaik sahaja Parlimen meluluskan Belanjawan 2021.

Selain pasaran saham, nilai ringgit juga kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras tertinggi bagi tempoh hampir 11 bulan.

Setakat jam 6 petang, ringgit diniagakan kepada 4.0650/0700 berbanding dolar AS berbanding 4.0835/0890 ketika ditutup semalam.

Antara intipati yang menyokong pasaran saham tempatan selain kelulusan undian Belanjawan 2021 adalah beberapa komitmen baharu termasuk berkaitan moratorium di mana kerajaan akan terus mengadakan libat urus bersama institusi perbankan bagi memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar.

Selain itu, langkah memperluaskan program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas dari segi pendapatan membabitkan lapan juta ahli juga dilihat bakal menyokong ekonomi domestik.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata memandangkan ketidakpastian sama ada belanjawan 2021 akan diluluskan atau tidak telah pudar, satu faktor yang akan mempengaruhi sentimen pada beberapa bulan akan datang adalah perkembangan vaksin COVID-19.
"Untuk jangka masa terdekat, kami berpendapat bahawa mungkin akan terdapat pelabur yang ingin menjual saham untuk mendapat keuntungan setelah FBM KLCI telah naik lebih dari lima peratus sejak awal bulan November.

"Oleh itu, FBM KLCI dijangka akan berlegar sekitar 1,590 ke 1,600 mata dalam masa terdekat. Untuk jangka masa panjang, pasaran saham tempatan dilihat akan berlegar di atas paras 1,650 ke 1,750 berikutan jangkaan pertumbuhan ekonomi pada 2021.

"Tambahan pula, jika terdapat pilihan raya umum (PRU) pada tahun 2021, FBM KLCI dijangka boleh mencecah paras 1,750 dengan lebih cepat terutamanya sebelum menjelang PRU seperti mana kita lihat dengan lonjakan sebelum PRU14," katanya.

Adam Mohamed menjelaskan paras sokongan baharu FBM KLCI berada pada 1,600 dan paras halangan berada di 1,625 mata.

Sementara itu, Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata firma penyelidik itu melihat kelulusan Belanjawan 2021 adalah satu perkembangan yang positif apabila mendorong FBM KLCI untuk tutup lebih tinggi hari ini.

"Ini (kelulusan) sekurang-kurangnya, memberikan kerajaan dana untuk menghadapi pandemik COVID-19 dan peluang untuk mengukuhkan dan merevitalasasikan ekonomi negara.

"Ini juga bermakna Malaysia mempunyai peluang untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tahun depan. Kami juga berpendapat bahawa ia akan dapat memberi dorongan pasaran saham domestik untuk masa terdekat.

"Untuk jangka masa sederhana dan panjang, ia bergantung kepada pelaksanaan program dan projek yang dirancang untuk Belanjawan 2021. Ia juga bergantung kepada perkembangan lain seperti peningkatan kes COVID-19 di Malaysia dan negara lain," katanya.

Berhubung pengukuhan ringgit, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata kelulusan Belanjawan 2021 menghapuskan halangan ke atas ringgit di mana mata wang tempatan itu menjadi unit berprestasi terbaik di Asia hari ini.

Katanya, selain melonjak ke tahap paling kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak Januari, ringgit dilihat mampu menghapuskan semua kerugian setakat ini berbanding dolar AS.

"Ringgit kini bersiap sedia untuk menguji paras sokongan di bawah 4.05 di mana paras ini gagal diuji pada Januari 2020 dan Mac 2019," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini