Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari dagangan pertama November hari ini berikutan kebimbangan terhadap ekonomi global selain menjelangnya pembentangan Belanjawan 2021 Malaysia pada Jumaat ini.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1550/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1530/1570 pada Jumaat lalu.

Menurut Kenanga Investment Bank, mata wang tempatan dijangka bergerak pada kecenderungan menurun minggu ini susulan sentimen pelabur enggan mengambil risiko mungkin berterusan ekoran angka kes COVID-19 terus meningkat.

"Kes COVID-19 meningkat di seluruh dunia dan negara termasuk United Kingdom melaksanakan sekatan pergerakan untuk mengekang penularan bagi mengelak impak yang lebih buruk ke atas ekonomi global.
"Pasaran juga berhati-hati terhadap mata wang tempatan menjelangnya pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini. Bagaimanapun penurunan ringgit mungkin dihadkan dengan potensi kemenangan Joe Biden dan kadar dasar semalaman yang dijangka tidak berubah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0413/0461 daripada 3.0427/0468 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3629/3701 daripada 5.3806/3866.

Ringgit stabil berbanding euro kepada 4.8360/8435 daripada 4.8470/8529 Jumaat lepas dan kukuh berbanding yen kepada 3.9639/9698 daripada 3.9757/9814.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini