Ringgit lebih tinggi, RM4.088 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lebih tinggi, RM4.088 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum meningkatnya pada minggu lalu untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan minat mengambil risiko yang dipacu oleh harga minyak mentah stabil, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0880/0930 berbanding dolar AS, daripada 4.0900/0940 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah Brent meningkat 1.71 peratus kepada AS$45.73 setong.
Seorang peniaga berkata, harga minyak dunia stabil berikutan keyakinan terhadap vaksin COVID-19, tetapi peningkatan itu dikekang oleh sekatan pergerakan yang dilaksanakan semula di beberapa buah negara.

Beliau berkata, pelabur terus memantau rapat kemungkinan pakej rangsangan daripada Presiden AS yang dipilih, Joe Biden dalam memerangi pandemik maut itu dan menghidupkan kembali ekonomi.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Unit tempatan jatuh kepada 3.0476/0524 berbanding dolar Singapura daripada 3.0434/0479 pada Jumaat minggu lepas, menyusut berbanding pound British kepada 5.4624/4711 daripada 5.4295/4360, dan turun berbanding euro kepada 4.8549/8625 berbanding 4.8495/8559.

Ringgit, bagaimanapun, kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9380/9439 daripada 3.9399/9445.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini