Ringgit terus mengukuh pasca Belanjawan 2021, pilihanraya AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus mengukuh pasca Belanjawan 2021, pilihanraya AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan unit negara maju itu terus menyusut selepas meneruskan aliran penurunannya sejak beberapa hari lalu.
Pada 6 petang, mata wang tempatan mencecah 4.1080/1130 berbanding dolar AS daripada 4.1275/1325 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengaitkan peningkatan ketara ringgit itu dengan keputusan pilihan raya AS yang menyaksikan Joe Biden terpilih sebagai presiden ke-46 negara berkenaan.

"Ini bererti rangsangan fiskal yang lebih besar sedang dijalankan dan mungkin dasar mesra perdagangan antarabangsa akan dilaksanakan.

"Ini akan memberikan sokongan kepada naratif pemulihan ekonomi global daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada 2021 selepas anggaran penguncupan 4.4 peratus tahun ini," katanya.

Di peringkat tertentu, beliau berkata peruntukan Belanjawan 2021 yang lebih besar di Malaysia dapat membantu menyokong ringgit dan menurutnya peserta pasaran bagaimanapun akan memberi tumpuan terperinci kepada perbahasan yang sedang dilaksanakan di Parlimen.

Secara keseluruhannya, Mohd Afzanizam berkata ringgit telah menunjukkan prestasi 
memberangsangkan dan data ekonomi yang diterima seperti jumlah eksport, Indeks Pelopor, Indeks Pengeluaran Perindustrian dan kadar pengangguran adalah positif terhadap mata wang tempatan itu.
Tambahnya, bagaimanapun, peningkatan yang pantas itu mungkin disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat baru-baru ini yang dijangka memberi kesan kepada kadar pemulihan ekonomi pada suku keempat dan mungkin menyebabkan beberapa aktiviti pengambilan untung sepanjang tempoh itu.

Ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama ketika ditutup hari ini.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0586/0630 daripada 3.0624/0668 ketika ditutup pada Jumaat dan naik berbanding euro kepada 4.8770/8850 daripada 4.8923/8995.

Mata wang tempatan juga menokok berbanding pound Britain kepada 5.3922/4004 daripada 5.4231/4313 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.9599/9659 daripada 3.9918/9978 pada Jumaat lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini