Ringgit teruskan aliran peningkatan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran peningkatan



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut sewaktu ditutup hari ini, didorong oleh perkembangan positif vaksin COVID-19, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit di paras 4.0850/0890 berbanding dolar US daripada 4.1020/1070 sewaktu ditutup semalam.

Menurut penganalisis itu, perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan China untuk bekerjasama terhadap vaksin yang selamat dan berkesan bagi memerangi COVID-19 telah meningkatkan keyakinan dalam kalangan peniaga.

Di bawah perjanjian itu, iaitu untuk tempoh permulaan selama lima tahun, Malaysia akan diberikan akses keutamaan kepada vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh China, perkongsian maklumat dan kepakaran serta memudahkan keupayaan saintifik dan teknologi untuk meningkatkan pembangunan vaksin di kedua-dua negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari China, Wang Zhigang.

"Sentimen yang lebih baik itu turut disumbangkan oleh peningkatan harga minyak dengan penanda aras minyak mentah Brent naik 1.33 peratus kepada AS$44.33 setong, setakat ini," kata penganalisis itu.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0471/0513 daripada 3.0537/0576 ketika ditutup pada Selasa, meningkat berbanding yen kepada 3.9328/9378 hari ini daripada 3.9329/9381 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8562/8614 daripada 4.8674/8750 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4298/4355 daripada 5.4245/4319 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini