Harga emas dijangka kekal kukuh meskipun penemuan vaksin - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas dijangka kekal kukuh meskipun penemuan vaksin



KUALA LUMPUR: Emas masih kekal dalam momentum kukuh untuk tempoh jangka panjang, meskipun harga logam berharga itu mencatat penurunan di bawah paras AS$1,900 (RM7,738.32) seauns atau RM272.96 segram baru-baru ini.

Ketua Strategi Pasaran Global ATFX, Alejandro Zambrano, berkata kejatuhan harga emas ketika ini disebabkan laporan mengenai perkembangan vaksin COVID-19 yang kini bakal memasuki fasa pengkomersialan, sekali gus mengalih tumpuan pelabur kepada sektor yang terjejas akibat pandemik.
Namun, katanya, trend jangka panjang emas kekal menaik dengan pemacu utama seterusnya aset selamat itu adalah pelan perbelanjaan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu di pilih, Joe Biden pada tahun depan.

"Selagi emas didagangkan di atas AS$1,671 seauns (RM6,805.65) atau RM240.06 segram, ia masih kekal dalam momentum untuk melonjak mencecah paras AS$2,000 seauns (RM8,145.60) atau RM287.33 segram dan berpotensi melebihi paras tertinggi tahun ini," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Spot emas susut 0.1 peratus kepada AS$1,813.75 (RM7,387.04) seauns pada Rabu ekoran perkembangan mengenai vaksin COVID-19 sebelum kembali melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh seminggu kepada AS$1,830.40 (RM7,454.85) seauns disokong kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, Zambrano berkata, pelabur dilihat beralih ke sektor yang terjejas akibat COVID-19 sebelum ini termasuk saham berkaitan pelancongan dan hospitaliti dalam tempoh beberapa bulan akan datang yang mana akan memberi kesan langsung kepada pergerakan emas.
Dalam tempoh beberapa hari akan datang, katanya, emas mungkin melonjak lebih tinggi susulan tekanan yang dihadapi dolar AS.

"Namun, selagi emas didagangkan di bawah AS$1,900 seauns, saya berpendapat kita akan melihat penurunan ke paras AS$1,750 (RM7,127.40) atau mungkin AS$1,700 (RM6,923.76) seauns.
"Ramai bertanya sama ada kejatuhan harga ketika ini membuka ruang kepada pelabur untuk menambah pegangan. Bagi saya ia bergantung kepada strategi pelaburan anda. Saya sendiri membeli dan menjual emas sepanjang tahun kerana ia adalah langkah cekap dalam menguruskan wang saya. Pada saya buat masa sekarang saya tidak akan membeli emas," katanya.

Beliau berkata, trend pelbagai hari emas akan kekal di bawah AS$1,900 seauns atau mungkin mencecah paras AS$1,763 (RM7,180.35) seauns.

"Namun, apabila harga emas melepasi AS$1,900 seauns, ia akan menjadi penamat kepada aliran menurun dan bermulanya lebih banyak pengukuhan," katanya.

Sementara itu, Ketua Perbendaharaan Ace Innovate Asia Bhd, Liew Kim Fung, berkata kejatuhan harga emas baru-baru ini disebabkan ketidakpastian mengenai isu perang dagang antara AS dan China, dasar ekonomi AS dan penularan COVID-19.

"Emas telah menyerap ketidakpastian berpotensi dan kini berada pada kedudukan yang baik serta tidak lagi berada dalam keadaan 'kekacauan' pembelian.

"Aset selamat ini berkemungkinan akan jatuh lebih lanjut jika Biden melaksanakan dasar ekonomi terutamanya berkaitan dengan kadar faedah.

"Buat masa ini, ia adalah tempoh terbaik untuk pembeli emas fizikal meningkatkan pegangan dalam emas. Namun dari segi pelaburan, saya menjangkakan emas boleh menyentuh di bawah AS$1,500 (RM6,109.20) seauns," katanya.

Kim Fung berkata, emas dijangka berdepan dengan tahap sokongan pertama iaitu AS$1,750 seauns dan sokongan kedua iaitu AS$1,675 (RM6,821.94).

"Bagi tahap halangan pertama dan kedua pula masing-masing adalah AS$1,850 (RM7,534.68) dan AS$1,920 (RM7,819.78) seauns," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini