Ringgit kembali kukuh disokong harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali kukuh disokong harga minyak




KUALA LUMPUR: Ringgit kembali mendapat momentum untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh sedikit kenaikan dalam harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0750/0780 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0800 ketika ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata prestasi ringgit yang lebih baik hari ini adalah seiring dengan keuntungan yang diraih mata wang Asia yang lain, didorong oleh data Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan rantau ini untuk November yang lebih mantap, diikuti dengan keyakinan terhadap vaksin COVID-19.

"Bagaimanapun, fokus utama para peniaga tukaran asing tempatan ialah kepada hasil mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang telah dilanjutkan.
"Walaupun minyak sudah stabil, masih banyak lagi ketidakpastian yang mungkin menghalang peniaga daripada membeli ringgit," katanya.

Dilaporkan mesyuarat OPEC+ yang telah dijadualkan, dilanjutkan ke 3 Disember 2020 bagi memberi lebih masa kepada para menteri untuk mencapai kesepakatan mengenai pengeluaran.
Harga penanda aras minyak mentah Brent meningkat 0.15 peratus kepada AS$47.49 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0395/0428 daripada 3.0388/0430 ketika ditutup pada Selasa dan lemah berbanding euro kepada 4.9116/9156 daripada 4.8826/8891.

Berbanding yen pula, ringgit mengukuh kepada 3.8921/8953 daripada 3.9080/9129 dan meningkat berbanding pound kepada 5.4377/4421 daripada 5.4427/4501.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini