Harga minyak hampir cecah paras tertinggi lapan bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak hampir cecah paras tertinggi lapan bulan




NEW YORK: Harga minyak didagangkan menghampiri paras lapan bulan tertinggi selepas OPEC+ mencapai kata sepakat dalam perjanjian untuk mengurangkan pengeluaran secara beransur-ansur bermula tahun depan.

Niaga hadapan naik lebih tinggi di pasaran New York setelah meningkat 0.8 peratus semalam dan bersedia untuk meraih keuntungan mingguan kelima yang sederhana.

Pertubuhan itu akan mula menambah 500,000 tong minyak mentah sehari ke pasaran pada Januari dan menteri kemudian akan mengadakan mesyuarat bulanan untuk memutuskan langkah seterusnya.
Perjanjian itu mengelakkan perpecahan kesatuan OPEC+ selepas perbezaan pendapat antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, keluk niaga hadapan minyak menunjukkan penawaran yang lebih sempit dan prospek jangka panjang yang lebih cerah.

Perjanjian OPEC+, yang dipersetujui selepas rundingan hampir seminggu, menawarkan sesuatu kepada anggotanya yang bimbang mengenai kelemahan pasaran dan juga kepada negara yang ingin mengeluarkan lebih banyak minyak untuk memanfaatkan harga yang lebih tinggi.

Rali harga minyak baru-baru ini didorong keyakinan permintaan bahan bakar akan mulai pulih setelah vaksin COVID-19 diedarkan secara meluas.

West Texas Intermediate untuk penghantaran Januari meningkat 0.4 peratus kepada AS$45.80 setong di New York Mercantile Exchange pada 8:20 pagi waktu Singapura dan meningkat 0.6 peratus setakat ini pada minggu ini.

Niaga hadapan ditutup pada AS$45.71 pada 25 November lalu, tahap tertinggi sejak awal Mac.
Bagi minyak mentah Brent untuk penghantaran Februari meningkat satu peratus untuk ditutup pada AS$48.71 pada pertukaran ICE Futures Europe pada hari Khamis, tertinggi sejak 5 Mac lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini