Harga minyak kukuh, ringgit dibuka tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak kukuh, ringgit dibuka tinggi




KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)untuk hari ketiga berturut-turut hari ini berikutan pengukuhan harga minyak yang didorong keputusan mengenai pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum serta sekutunya (OPEC+).

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 120 mata asas lebih tinggi berbanding dolar AS daripada 4.0610/0670 ketika ditutup pada Khamis.

Selepas beberapa siri mesyuarat pada sepanjang minggu ini, OPEC+ pada Khamis bersetuju meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 500,000 tong sehari mulai Januari tahun depan.
Menurut CNBC, pasaran memberikan reaksi positif terhadap keputusan itu.

Setakat ini, penanda aras minyak mentah Brent naik 0.66 peratus kepada AS$49.03 setong. Setiap AS$1 setong bagi peningkatan harga minyak akan menambah kira-kira RM300 juta kepada perolehan Malaysia.

Ketua Strategi Pemasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) China yang lebih baik daripada dijangkakan dengan peningkatan 54.9 pada November 2020 daripada 53.6 pada Oktober turut memberi kebaikan kepada ringgit.

"Sekiranya harga minyak bertahan seperti diharapkan, saya menjangka ringgit akan kekal dalam keadaan baik dan dijangka akan 'mengejar' mata wang yuan lebih tinggi lagi pada minggu depan," katanya kepada Bernama.

Semasa dibuka, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain melainkan dolar Singapura.

Ia turun berbanding yen kepada 3.9120/9189 daripada 3.9058/9081 ketika ditutup Khamis, susut berbanding pound Britain kepada 5.4645/4746 daripada 5.4586/4617 dan turun berbanding euro kepada 4.9333/9422 daripada 4.9328/9360.

Berbanding dolar Singapura, ringgit hampir tidak berubah kepada 3.0440/0496 daripada 3.0441/0467 ketika ditutup pada Khamis.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini