Ringgit catat penurunan hari kedua - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit catat penurunan hari kedua



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu, menurut penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit susut kepada 4.0590/0630 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0490/0530 pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Global Axi, Stephen Innes, berkata hari ini dagangan agak lengang ketika pasaran menunggu resolusi berkaitan Brexit dan memahami dengan lebih mendalam mengenai virus mutan baharu COVID-19, yang memberi impak kepada sentimen tempatan.

"Selain itu, tidak ada yang lebih penting kepada ringgit daripada harga minyak yang kekal rendah berikutan prospek permintaan lemah," katanya.

Ketika ini, harga minyak mentah penanda aras Brent turun 1.43 peratus kepada AS$50.18 setong.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0370/0412 daripada 3.0266/0305 pada Isnin dan turun berbanding euro kepada 4.9540/9605 daripada 4.9288/9353.

Unit tempatan juga berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4427/4497 daripada 5.3520/3589 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.9252/9298 daripada 3.9027/9076.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini