Ringgit cecah paras tertinggi lebih dua tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cecah paras tertinggi lebih dua tahun




KUALA LUMPUR: Ringgit mencecah paras tertingginya sejak Julai 2018 hari ini, apabila meningkat buat minggu ketujuh berturut-turut didorong kenaikan harga minyak mentah.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata kenaikan harga minyak mentah melepasi paras AS$50 setong buat kali pertama sejak Mac menjadi pemacu utama kepada pengukuhan mata wang tempatan itu.

"Ringgit dilihat menyerap tekanan daripada data pengeluaran perindustrian Oktober yang lebih rendah dari jangkaan, di mana faktor luaran kekal menjadi pemacu utama kepada pergerakannya," katanya.
Tan berkata, minat risiko kekal dipengaruhi oleh perkembangan vaksin COVID-19 di seluruh ekonomi utama serta perkembangan berkaitan dengan rangsangan fiskal AS yang baharu.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) akan datang akan menyediakan lebih banyak petunjuk mengenai rancangan Rizab Persekutuan (Fed) untuk menyokong ekonomi AS.

"Isyarat seperti itu dapat meningkatkan tekanan ke atas dolar AS, sementara membenarkan kenaikan lebih banyak untuk seluruh pasaran tukaran asing.

"Untuk minggu akan datang, jika ringgit berjaya menjangkaui paras di bawah 4.05, maka mata wang Malaysia hanya menunggu masa untuk mencecah paras 4.00," katanya.

Prestasi ringgit itu sekali gus mengetepikan sepenuhnya sentimen kurang positif semakan Fitch Ratings ke atas penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada BBB+ daripada A-, minggu lalu.

Sementara itu, pasaran saham tempatan juga meneruskan kenaikannya apabila kekal positif lima hari berturut-turut sebelum mengakhiri minggu ini untuk ditutup pada paras tertinggi sejak 4 Julai 2019.
Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang mencecah
1,684.58 mata hari ini disokong lonjakan aktiviti belian dalam saham perbankan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata saham Public Bank meningkat 8.4 peratus, manakala institusi perbankan lain termasuk Maybank mencatat kenaikan sebanyak 6.3 peratus sekali gus menyokong FBM KLCI.

Katanya, faktor pemulihan ekonomi yang menyaksikan banyak syarikat ingin mengembangkan perniagaan sekali gus menyokong pertumbuhan pinjaman di mana memberi rangsangan kepada sektor perbankan.

"Harus diingatkan bahawa Public Bank dan Maybank, kedua-dua saham ini adalah antara syarikat yang mempunyai permodalan pasaran yang terbesar dalam Bursa Malaysia. Oleh itu, kenaikan harga saham mereka akan banyak mempengaruhi pergerakan FBM KLCI.

"Ada juga kemungkinan pelabur institusi mengambil kesempatan untuk meningkatkan pegangan mereka dalam sektor perbankan memandangkan ekonomi dijangka akan pulih pada 2021.

"Bagaimanapun, terdapat kemungkinan kenaikan paras FBM KLCI akan terhenti seketika pada minggu seterusnya bulan ini memandangkan aktiviti pelaburan selalunya kurang aktif pada akhir tahun," katanya

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini