Ringgit meningkat kepada RM4.047 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat kepada RM4.047 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh pagi ini, dipacu oleh peningkatan harga minyak dan komoditi.

Pada pukul 9.06 pagi, mata wang tempatan melonjak ke paras 4.0470/0530 daripada 4.0500/0550 ketika ditutup Jumaat lalu.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit disokong sepenuhnya oleh mod pengukuhan urus niaga komoditi dan harga minyak yang meningkat baru-baru ini berikutan keyakinan terhadap vaksin COVID-19 semakin ketara dan ini amat membantu mata wang berkaitan komoditi pada masa ini.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent diniagakan tinggi, hampir mencecah AS$50 setong manakala West Texas Intermediate pada AS$46.58 setong.

Selain itu, Innes berkata pada hakikatnya, perundingan Brexit yang tidak berakhir dengan sebarang perjanjian Brexit adalah berita baik.

Dilaporkan para pemimpin UK dan Eropah berikrar untuk berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai kesepakatan dalam perjanjian itu.

"Saya berpendapat risiko utama minggu ini ialah hasil mesyuarat akhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) untuk tahun 2020," katanya.

FOMC akan mengadakan mesyuarat dasar pada 15 hingga 16 Disember.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0292/0339 daripada 3.0301/0332 ketika ditutup Jumaat lepas dan berbanding euro pada 4.9042/9130 daripada 4.9074/9122.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8899/8960 daripada 3.8927/8964 sebelumnya tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.3797/3893 daripada 5.3537/3585.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini