Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan sentimen risiko yang lebih baik susulan pemeteraian perjanjian rangsangan AS oleh Presiden Donald Trump, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.0490/0540 berbanding dolar AS daripada 4.0475/0530 sewaktu ditutup Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata dana bantuan kecemasan berjumlah AS$900 bilion itu adalah pengubah kepada suasana positif berikutan ia merangkumi bantuan kepada perniagaan kecil, penyedia perkhidmatan kesihatan dan sekolah serta individu yang menganggur dan diusir.

"Bagaimanapun, harga minyak memberi jalan terhadap kebimbangan bekalan memandangkan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mungkin menyegerakan langkah untuk membawa lebih banyak tong ke pasaran.

"Pasaran menunggu untuk menyaksikan sekiranya Senat AS meluluskan semakan kenaikan bantuan COVID-19 daripada AS$600 kepada AS$2,000, yang akan memberikan sokongan kepada sentimen risiko dan membantu ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0460/0500 daripada 3.0483/0529 pada Isnin dan menambah berbanding pound Britain kepada 5.4548/4624 daripada 5.4856/4938 sebelum ini.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9019/9071 daripada 3.9114/9178 dan naik berbanding euro kepada 4.9503/9580 daripada 4.9570/9649 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini