Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut hari ini, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan kemungkinan pelaksanaan program vaksin COVID-19 di AS seawal Ahad ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0600/0620 daripada 4.0630/0650 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Dunia Axi, Stephen Innes, berkata penstabilan harga minyak mentah dan program vaksin yang mungkin dijalankan di AS telah memberi prospek positif bagi eksport Malaysia ke sebelah barat.

"Bagaimanapun, faktor positif lain juga dicetuskan oleh sektor pelancongan dan rekreasi di rantau ini, memandangkan Malaysia merupakan destinasi pelancongan utama," katanya kepada Bernama.
Menurut laporan awal bulan ini, pegawai kesihatan utama AS mengumumkan mereka akan mula menginokulasi warganya bagi memulihkan daripada jangkitan koronavirus seawal pertengahan Disember susulan peningkatan ketara kes kematian akibat pandemik itu di seluruh negara.

Minyak mentah Brent pada masa ini meningkat 0.8 peratus kepada AS$49.21 setong, walaupun berlaku pertambahan inventori secara besar-besaran seperti dilaporkan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA).

EIA mengumumkan minyak mentah meningkat 15.189 juta tong bagi minggu ini, menjadikan inventori minyak AS berjumlah 503.2 juta tong, peningkatan 11 peratus itu mengatasi purata selama lima minggu bagi tahun ini.

"Keyakinan terhadap vaksin itu sememangnya ada dan terus mengehadkan sebarang pergerakan penurunan yang buruk. Akhirnya, harga minyak mentah kembali ke dalam lingkungan positif sebelum memberi laluan dan menjejaki penyusutan ekuiti sehingga penutupan," katanya.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0348/0368 daripada 3.0421/0438 ketika ditutup pada Rabu dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4063/4106 daripada 5.4623/4666.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.9142/9183 daripada 4.9260/9296 semalam dan stabil berbanding yen Jepun kepada 3.8863/8889 daripada 3.9030/9056.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini