Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini terjejas oleh sentimen negatif susulan keputusan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit negara Malaysia kepada BBB+ daripada A- sebelumnya, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan susut 120 mata asas kepada 4.0700/0740 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0580/0620 pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berita mengenai penarafan itu membayangkan bahawa ringgit bakal diniagakan tidak menentu pada minggu ini.

"Berita itu sebenarnya bukanlah tidak dijangka langsung kerana Fitch telah menyemak semula tinjauan penarafannya daripada 'stabil' kepada 'negatif' pada April tahun ini.

"Memandangkan jurang saiz belanjawan kita yang amat besar bagi tahun depan, respons daripada agensi penarafan sepatutnya menjadi sebahagian daripada perancangan senario," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, paras ketahanan semasa bagi ringgit dikesan pada RM4.0809 dan paras ketahanan seterusnya dijangkakan pada RM4.1512.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0403/0442 daripada 3.0461/0498 pada Jumaat minggu lalu dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3997/3054 daripada 5.4698/4772.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.9210/9275 daripada 4.9366/9430 dan tinggi sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.9022/9072 daripada 3.9023/9080. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini