Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan pelabur kekal tidak memasuki pasaran bagi menunggu perkembangan berkaitan program pembelian aset oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.0530/0560 berbanding dolar AS daripada 4.0540/0580 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes, berkata peniaga menjalankan urus niaga secara berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) kerana kekurangan pemangkin.

Mesyuarat FOMC selama dua hari itu dijadualkan berakhir 16 Disember.

Innes berkata, penurunan dolar mendorong tumpuan diberikan terhadap mesyuarat FOMC minggu ini berikutan Fed mula menyuarakan kadar faedah yang sedikit lebih tinggi daripada asas yang rendah susulan keyakinan mengenai vaksin.

"Tetapi berikutan pasaran pekerjaan AS terus perlahan, ditambah dengan unjuran negatif sektor pekerjaan, yang mana seolah-olah tiada pihak yang mempunyai penyelesaian, sewajarnya mengekalkan Fed "pada kadar faedah rendah dan lebih lama" dalam jangka terdekat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat semula berbanding dolar Singapura kepada 3.0369/0396 daripada 3.0413/0461 semalam dan kukuh berbanding pound kepada 5.3966/4026 daripada 5.4352/4422.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.9272/9321 daripada 4.9280/9345 semalam, dan naik berbanding yen kepada 3.8949/8989 daripada 3.9071/9113 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini