Ringgit uji paras RM4.05 minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit uji paras RM4.05 minggu depan

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum peningkatannya dengan mencecah paras 4.0550 hingga 4.0750 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan minat ketara terhadap unit tempatan itu yang dipacu oleh kenaikan harga minyak, kata penganalisis.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata harga minyak mentah meningkat susulan keputusan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mengenai pengeluarannya yang menyuntik sentimen positif terhadap ringgit.

Ini berikutan kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport bersih minyak mentah dan produk-produk petroleum.

"Bagaimanapun, pasaran menjadi lebih berhati-hati susulan keputusan Brexit pada Isnin tetapi saya beranggapan bahawa satu halangan telah dapat diatasi dan kita boleh melihat ringgit menguji paras 4.05 minggu depan jika harga minyak kekal kukuh," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit adalah antara mata wang Asia yang mengukuh berbanding dolar AS dengan peningkatannya mencecah minggu keenam berturut-turut pada minggu ini.

"Mata wang negara sedang pesat membangun mendapat manfaat daripada sentimen yang cenderung terhadap risiko di pasaran kewangan global ketika penduduk dunia memulakan perjalanan ke arah imuniti COVID-19," katanya.

Menurutnya, data perdagangan luar China bagi November yang lebih baik daripada jangkaan pada isnin juga akan turut mempengaruhi sentimen positif terhadap aset-aset Asia.

"Jika sentimen risiko itu tidak terjejas, agak wajar untuk menjangkakan bahawa ringgit akan meningkat selanjutnya berbanding dolar AS dan menguji paras 4.05 sebagai penanda utama berikutnya.

"Namun, jika naratif risiko pasaran terjejas, ringgit mungkin kembali ke paras 4.10 berbanding dolar AS," katanya.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit secara umumnya mengukuh berbanding dolar AS pada 4.0580/0620 daripada 4.0670/0710 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0461/0498 pada Jumaat daripada 3.0380/0431 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga merosot berbanding pound Britain kepada 5.4698/4772 daripada 5.4319/4389 dan rendah berbanding euro kepada 4.9366/9430 daripada 4.8479/8543.

Bagaimanapun, ringgit tinggi berbanding yen kepada 3.9023/9080 daripada 3.9083/9133 pada Jumaat lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini