Pengekalan OPR perkukuh ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pengekalan OPR perkukuh ringgit




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi untuk hari ketiga berturut-turut, didagangkan pada kedudukan yang lebih baik selepas Bank Negara Malaysia terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada minggu ini.

Pada penutupan, mata wang tempatan berada pada 4.0280/ 0320 berbanding dolar AS daripada 4.0430/0470 yang direkodkan semalam.

Bank pusat itu mengekalkan OPR pada 1.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pertamanya untuk tahun ini.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata keputusan bank pusat itu memberi petanda yang baik kepada ringgit, terutama dengan pasaran memantau rapat prestasi dolar AS.

"Rantau Asia telah mengikuti politik Amerika Syarikat (AS) secara dekat di sekitar minggu pengangkatan sumpah presiden untuk mencari sebarang tanda positif membabitkan hubungan rantau ini dengan pentadbiran Joe Biden.

"Perkara yang menjadi perhatian merangkumi imbangan perdagangan AS-China, rizab bank pusat dan pertukaran asing," katanya.

Indeks pengurus pembelian Flash AS yang akan diumum pada Jumaat sewajarnya mencerminkan jurang pelebaran dalam aktiviti sektor perkhidmatan.

"Dan potensi untuk perbelanjaan fiskal AS yang lebih tinggi mungkin mampu merangsangkan dolar AS dalam tempoh terdekat di belakang hasil sebenar yang lebih tinggi," katanya.

Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ia melantun semula berbanding dolar Singapura kepada 3.0441/0481 daripada 3.0490/0530 yang direkodkan semalam, menokok berbanding pound kepada 5.5312/5380 daripada 5.5349/5412 dan bertambah baik kepada 3.8944/8987 berbanding yen daripada 3.8950/8996.

Ringgit juga mengukuh berbanding euro kepada 4.8904/8965 berbanding 4.9025/9082 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini