Ringgit berpotensi cecah RM3.90 sedolar tahun ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berpotensi cecah RM3.90 sedolar tahun ini


Persekitaran kadar faedah rendah di Amerika Syarikat (AS) yang dijangka sehingga 2023 akan mendorong aliran masuk asing ke dalam pasaran tempatan, sekali gus menyokong ringgit untuk terus stabil dengan berpotensi mengukuh ke paras RM3.90 sedolar pada 2021.

Ringgit menerajui mata wang serantau lain untuk mengakhiri sesi dagangan 2020 dalam nada positif dengan sentimen dipacu oleh harapan penemuan vaksin akan memulihkan pertumbuhan ekonomi.

Mata wang tempatan itu semalam mengakhiri sesi dagangan 2020 pada RM4.0203 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS), mengukuh 1.73 peratus berbanding RM4.0910, paras penutup hari terakhir dagangan 2019.

Malah, ringgit juga mengukuh 9.46 peratus berbanding RM4.44, paras rendah sejak 2017 yang dicatatkan pada Mac 2020 berikutan ketidaktentuan dicetuskan COVID-19.

Walaupun berdepan persekitaran yang sangat mencabar, pelaksanaan dasar monetari yang berkesan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menyokong kestabilan mata wang tempatan berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi ringgit sangat memberangsangkan meskipun penarafan kredit Malaysia diturunkan pada awal Disember serta kes jangkitan COVID-19 yang masih lagi tinggi.

Beliau menjangkakan ringgit dijangka bergerak positif pada 2021, disokong oleh pandangan bahawa ekonomi global dijangka mencatatkan pertumbuhan yang positif.

Katanya, permintaan terhadap minyak mentah juga dijangka meningkat berikutan aktiviti ekonomi yang diunjurkan lebih baik pada 2021.

Jelasnya, hubungan harga minyak dan ringgit sememangnya berkadar positif dan sekiranya tren harga minyak menaik, perkara itu seharusnya menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit pada 2021.
"Kami menjangkakan ringgit akan mencecah RM4.00 pada akhir tahun depan. Namun, terdapat juga kecenderungan untuk ringgit terus meningkat dan berlegar sekitar RM3.90.

"Perkara ini amat bergantung kerancakan ekonomi global tahun depan yang banyak ditentukan oleh perkembangan vaksin," katanya.

Rakuten Trade dalam analisisnya pula menjangkakan ringgit akan menguji paras antara RM3.80 hingga RM3.90 tahun ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini