Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini berikutan pengukuhan dolar selepas pelabur meningkatkan pegangan ke atas unit berkenaan.
Ini lebih-lebih lagi didorong oleh perasaan bimbang peniaga terhadap dasar luar negara berikutan pelantikan Joe Biden sebagai Presiden AS minggu ini.

Pada pukul 9.03 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0450/0510 berbanding dolar AS daripada 4.0350/0380 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Ringgit turut merosot apabila negara menguatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin minggu lalu.

Unit tempatan menyusut 0.2 peratus minggu lepas, merosot kepada RM4.037 untuk satu AS dolar (minggu sebelumnya: RM4.029 untuk satu AS dolar) selepas kerajaan menguatkuasakan PKP 2.0 di beberapa negeri dan wilayah persekutuan terpilih.

Proklamasi Darurat juga telah diisytiharkan sehingga 1 Ogos, atau sehingga gelombang semasa penularan COVID-19 reda bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha membendung pandemik serta menyokong ekonomi.

Selain daripada kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi, penyusutan ringgit turut menjejaki penurunan harga minyak mentah Brent yang jatuh 1.6 peratus kepada AS$55.10 setong daripada AS$55.99 setong minggu lalu.

"Tumpuan sekarang ialah pada mesyuarat Dasar Monetari Bank Negara yang dijadualkan berlangsung keesokan hari," kata seorang penganalisis.

Beliau berkata bank pusat dijangka melakukan satu lagi pusingan penurunan kadar faedah sebagai tindak balas kepada potensi kesan ekonomi berikutan pengumuman darurat serta pelaksanaan semula PKP.

Penurunan sebanyak 25 mata asas lagi dalam kadar dasar semalam akan menyaksikan kadar pinjaman pada paras rendah terbaharu iaitu 1.5 peratus.

Sementara itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit dibuka bercampur-campur.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4919/5004 daripada 5.5029/5086 dan meningkat kepada 4.8831/8920 daripada 4.8977/9021 berbanding euro.

Bagaimanapun, berbanding dolar Singapura, unit tempatan itu menyusut kepada 3.0375/0438 daripada 3.0386/0410 dan jatuh kepada 3.8965/9027 daripada 3.8918/8962 berbanding yen.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini