Ringgit uji paras psikologi RM4.00 minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
JustForex

Ringgit uji paras psikologi RM4.00 minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit mungkin menguji paras psikologi RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan di tengah-tengah jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada minggu akan datang.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata tindak balas kesihatan dan ekonomi Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang sedang berlangsung, bersama tingkah laku dolar AS, akan menjadi pemacu utama dalam menentukan prestasi ringgit-dolar AS bergerak ke hadapan.

"Untuk minggu yang akan datang, paras psikologi RM4.00 mungkin memberikan isyarat bagi pasangan mata wang itu, manakala purata bergerak mudah 50 hari (50-SMA) boleh disaran sebagai respons sekali lagi, sebagai tahap rintangan utama sekiranya terdapat satu lagi episod kehilangan selera risiko," katanya kepada Bernama.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang dijadualkan berlangsung pada Rabu depan.

Tan berkata, memandangkan pendirian yang lebih akomodatif dalam kalangan bank-bank pusat global, ringgit dijangka tidak akan terkesan walaupun BNM membuat pemotongan 25 mata asas.

Menurutnya, Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan diramal tidak akan mengubah tetapan dasar mereka pada mesyuarat yang akan dibuat Januari ini.

"Bagaimanapun, pasaran bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang petunjuk yang berpotensi mengenai pelarasan yang membabitkan dasar monetari," katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berpendapat minggu hadapan adalah terlalu cepat untuk ringgit menguji paras RM4.00 memandangkan PKP 2.0 ini hanya akan mengambil tempoh dua minggu sahaja iaitu sehingga 26 Januari.

"Jadi saya menjangkakan urus niaga jajaran kecil yang sama tetapi lebih menguntungkan untuk ringgit pada minggu hadapan," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan antara 4.0550/0600 dan 4.0350/0380 berbanding dolar AS.

Ia memadankan kerugiannya untuk minggu ini berbanding dolar US kepada 4.0350/0380 semalam berikutan reaksi serta merta selepas kerajaan membuat pengisytiharan darurat pada Selasa lalu.
"Pengumuman itu menyebabkan ringgit mencecah paras RM4.07 pada Selasa," kata Tan.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perintah sekatan PKP berskala penuh akan dilaksanakan di beberapa kawasan, manakala pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos atau selepas COVID-19 terkawal.

Kedua-dua pengumuman itu bertujuan menangani penularan wabak

Sementara itu, mata wang tempatan itu turut dipengaruhi oleh harga minyak mentah yang menyaksikan penanda aras harga mentah Brent terus melebihi AS$55 setong selain daripada pelan rangsangan pandemik Presiden AS, Joe Biden bernilai AS$1.9 trilion dan pendirian hambar Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell mengenai kadar faedah negara itu.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit melemah berbanding dolar AS pada 4.0350/0380 daripada 4.0300/0340 yang direkodkan semasa minggu sebelumnya.

Ringgit juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia menokok dolar Singapura kepada 3.0386/0418 daripada 3.0420/0459 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8977/9021 daripada 4.9319/9384.

Ringgit, bagaimanapun jatuh berbanding yen kepada 3.8918/8962 daripada 3.8813/8863 dan susut berbanding pound kepada 5.5029/5086 daripada 5.4804/4875 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini