Ringgit meningkat didorong pelan rangsangan Biden, harga minyak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat didorong pelan rangsangan Biden, harga minyak




KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa awal dagangan hari ini, didorong pelan rangsangan oleh Joe Biden yang baru dipilih sebagai presiden, ditambah dengan dagangan minyak mentah Brent yang baik iaitu melepasi AS$55 setong.

Pada 9.03 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0460/0510 berbanding dolar AS daripada 4.0480/0520 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata sentimen positif ini sewajarnya mewujudkan situasi lebih menggalakkan bagi unit tempatan.

"Bagaimanapun, ketika tumpuan pentadbiran Biden akan datang adalah berorientasikan domestik, satu lagi catatan lebihan dagangan tertinggi sepanjang masa bagi China pada Disember (AS$78.17 bilion) nampaknya menyokong kekukuhan dasar luar AS.

"Ini tidak baik untuk risiko pertukaran mata wang asing Asia dan perlu memantau secara teliti mengenai nada awal pandangan pentadbiran baharu itu mengenai perdagangan China," katanya.

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) selama dua hari berakhir hari ini dan bank pusat dijangka sama ada mengurangkan kadar faedah atau mengekalkannya.

Ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0476/0525 daripada 3.0443/0482 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 3.8956/9008 daripada 3.8912/8962.

Mata wang tempatan turut susut kepada 5.5204/5288 daripada 5.5081/5140 berbanding pound Britain dan merosot berbanding euro kepada 4.9131/9195 daripada 4.9058/9114.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini