Ringgit susut berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pembetulan teknikal selepas mencatat peningkatan tiga hari berturut-turut di tengah-tengah prestasi semalaman mata wang negara maju yang bercampur-campur.

Peniaga berkata, kebimbangan terhadap sekatan perjalanan dan pelancaran vaksin COVID-19 yang lebih perlahan telah mempengaruhi mata wang tempatan.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.0140/0200 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0040/0090 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sesuatu yang membimbangkan berkenaan COVID-19 muncul semula apabila United Kingdom (UK) mengenakan semula perintah berkurung, manakala varian coronavirus baharu telah dikesan di pantai AS, yang membayangkan respons yang sama di situ.

"Ini bererti jangkaan terhadap pemulihan ekonomi kekal tidak kukuh memandangkan pandemik ini akan terus mempunyai impak yang ketara terhadap aktiviti ekonomi.

"Sehubungan itu, kita telah menyaksikan beberapa pembetulan ke atas ringgit berbanding dolar AS hari ini yang amat dijangkakan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata ia adalah hari pengambilan untung bagi ringgit berikutan sektor tenaga jatuh di bawah tekanan berikutan COVID-19 telah mempengaruhi harga minyak hari ini.

Beliau berkata, terdapat sedikit kebimbangan mengenai pra-Senat Georgia yang memberikan tekanan kepada sentimen risiko global dan memberi impak negatif terhadap dagangan ringgit hari ini.
"Bagaimanapun, memandangkan kita masih dalam lingkungan menghampiri paras kritikal 4.0, ini menunjukkan keyakinan yang menggalakkan untuk melepasi paras itu sebaik sahaja vaksin berkenaan diedarkan dengan lebih meluas," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain melainkan pound sterling.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0425/0482 daripada 3.0402/0450 pada Isnin, susut berbanding yen Jepun kepada 3.9032/9094 daripada 3.8968/0021 dan turun berbanding euro kepada 4.9256/9341 daripada 4.9213/9291.

Bagaimanapun, unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4474/4572 daripada 5.4743/4827 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini