Harga minyak sokong peningkatan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak sokong peningkatan ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini sejajar dengan prestasi mata wang negara Asia sedang pesat membangun susulan peningkatan harga minyak mentah dan penurunan mata wang AS itu, kata penganalisis.

Pada penutup dagangan, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0630/0680 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0680/0730 pada Jumaat minggu lalu.

Seorang penganalisis berkata, dolar AS lemah hari ini dengan indeks dolar terapung sekitar paras 91.00 selepas AS mencatatkan data pekerja Januari yang lebih rendah daripada dijangkakan.

Sementara itu, Ketua Ahli Strategi global Axi, Stephen Innes, berkata mata wang tempatan mendapat rangsangan daripada cadangan pakej rangsangan ekonomi AS dan tindakan Presiden AS, Joe Biden yang menolak untuk melonggarkan sekatan ke atas Iran yang menyaksikan harga minyak melonjak melepasi paras AS$60 setong telah memberi manfaat kepada ringgit.

"Bagaimanapun, hasil AS yang lebih tinggi boleh menjadi faktor ketara dalam pasaran mata wang sekiranya ia mula memberi impak negatif ke atas pasaran saham yang akan menyaksikan permintaan terhadap dolar AS meningkat.

"Peniaga juga lebih berhati-hati menjelang cuti Tahun Baru Cina menyedari bahawa mudah tunai akan berkurangan tidak lama lagi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0421/0465 daripada 3.0415/0455 pada Jumaat minggu lalu dan susut berbanding euro kepada 4.8874/8942 daripada 4.8714/8786.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8472/8523 daripada 3.8570/8621 dan naik berbanding pound kepada 5.5683/5764 daripada 5.5687/5772.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini