Momentum peningkatan ringgit berterusan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Momentum peningkatan ringgit berterusan




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah yang stabil, kata penganalisis.
Pada penutupan, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0460/0500 berbanding dengan dolar AS daripada 4.0630/0680 ketika ditutup pada Isnin.

Penganalisis berkata, dolar AS mengalami penyusutan berikutan pelabur terus meragui kadar kepantasan pemulihan ekonomi AS berikutan data pembayaran gaji bukan ladang bagi Januari adalah lebih rendah berbanding dengan jangkaan seperti yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.

"Sentimen pasaran pekerjaan yang suram memerlukan lebih banyak sokongan fiskal, dan walaupun tambahan pusingan langkah rangsangan boleh menyokong pemulihan ekonomi di AS namun pasaran bimbang ia boleh meningkatkan defisit akaun semasa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ia sekali gus meredakan keyakinan pelabur terhadap dolar AS dan melemahkan mata wang negara maju itu dalam beberapa minggu akan datang.

Sementara itu, minyak mentah Brent naik 0.50 peratus untuk diniagakan pada AS$60.86 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes, berkata harga minyak mentah yang tinggi adalah petanda baik bagi kedudukan fiskal Malaysia berbanding dengan andaian kerajaan menerusi Belanjawan 2021 pada AS$42 setong tahun ini serta AS$45 hingga AS$55 setong bagi tempoh 2021-2023.

"Mengandaikan harga itu kekal, dengan kenaikan harga minyak mentah sebanyak AS$15 setong, ia mendorong tambahan hasil kerajaan sebanyak RM4.5 bilion berbanding anggaran (perbelanjaan mengurus) RM237 bilion pada 2021, yang penting untuk menambah baik situasi defisit fiskal.
"Ini dapat memberi kapasiti usaha untuk kerajaan merangsangkan aktiviti dalam ekonomi menerusi penyediaan dana serta membiayai beberapa projek besar. Pasti, ini akhirnya akan mendorong ringgit didagangkan lebih kukuh tahun ini," katanya.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada Selasa.
Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0488/0520 daripada 3.0421/0465 ketika ditutup pada Isnin dan turun berbanding euro kepada 4.8993/8046 daripada 4.8874/8942.

Unit tempatan juga lemah berbanding yen kepada 3.8688/8734 daripada 3.8472/8523 semalam dan menguncup berbanding pound kepada 5.5754/5817 daripada 5.5683/5764.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini