Ringgit terus melonjak - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus melonjak




KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran peningkatan untuk ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, didorong oleh kenaikan berterusan harga minyak global selain prestasi dolar AS yang susut, kata peniaga.

Sewaktu ditutup pada petang Isnin, mata wang tempatan mencecah paras 4.0320/0370 berbanding dolar AS daripada 4.0405/0445 sewaktu ditutup pada Khamis lepas.

Pasaran ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Tahun Baharu Cina.

Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Research turut menjangkakan ringgit akan meneruskan aliran peningkatannya berbanding dolar AS minggu ini ketika unit negara maju itu teruk diasak aliran penyusutan susulan jangkaan membabitkan pakej rangsangan serta perkembangan usaha vaksinasi yang sedang dijalankan.

"Kelemahan dolar AS dan kenaikan harga komoditi itu berkemungkinan besar akan mendorong minat risiko pelabur serta terhadap aset-aset berisiko.

"Di peringkat tempatan, kelonggaran sekatan perjalanan akibat COVID-19 akan turut membantu melonjakkan prestasi ringgit," katanya.

Selain itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain pada Isnin, kecuali pound Britain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0481/0523 daripada 3.0499/0531 pada Khamis lepas dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8920/8979 daripada 4.9003/9068, sebelum ini.
Unit tempatan itu juga meningkat berbanding yen kepada 3.8258/8313 daripada 3.8602/8644 namun susut berbanding pound Britain kepada 5.6033/6144 daripada 5.5896/5964.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini