Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis susulan mata wang negara maju itu lemah selepas hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS kekal dengan kadar faedah rendah.

Pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) dilaporkan terus menjangkakan kadar faedah hampir sifar sekurang-kurangnya sehingga 2023 pada mesyuarat itu yang berakhir 17 Mac.

Pada 6 petang, ringgit ditutup 100 mata asas lebih tinggi berbanding dolar AS kepada 4.1090/1140 daripada 4.1190/1240 ketika ditutup pada Rabu.

Menerusi nota penyelidikan pada Khamis, Penganalisis Kanan bagi Pasaran Asia Pasifik OANDA, Jeffrey Halley, berkata dolar AS mengalami penurunan serta-merta selepas mencatatkan kenaikan minggu ini apabila FOMC kekal dengan unjuran kadar faedah rendah.

"Dolar AS mengalami penyusutan dalam tempoh semalaman di seluruh papan, dengan Indeks Dolar turun 0.46 peratus kepada paras 91.44 yang kali terakhir dicatatkan pada akhir minggu lalu," katanya.
Beliau berkata, hasil mesyuarat FOMC itu turut memberi kelegaan kepada bank pusat negara pesat membangun.

Dalam pada itu, kenaikan ringgit juga telah dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah dengan minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global merosot 0.32 peratus daripada harga pada sesi dagangan sebelum ini kepada AS$67.78 setong pada Khamis.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0616/0663 daripada 3.0593/0637 ketika ditutup pada Rabu dan lemah berbanding pound kepada 5.7349/7452 daripada 5.7250/7332.
Ringgit turun berbanding euro kepada 4.9061/9138 daripada 4.9053/9129 namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7677/7733 daripada 3.7751/7807.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini