Ringgit kembali kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali kukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini mengakhiri penurunannya selama tiga hari berturut-turut, apabila prestasi pasaran saham yang bertambah baik dan lantunan semula harga minyak dunia telah meningkatkan sentimen pasaran.

Pada jam 6 petang, ringgit melantun semula kepada 4.0490/0530 daripada paras penutup 4.0570/0600 pada Selasa.

Ketua Ahli Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata unit tempatan kekal pada paras 4.05 yang sama tanpa sebarang pergerakan.

"Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil hari ini, bertahan di paras 4.05," katanya.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, ringgit meningkat sedikit hari ini berikutan sokongan daripada sentimen lebih positif dalam pasaran kewangan Asia di tengah-tengah harga minyak yang tinggi.

"Kenaikan dijangka terhad menjelang keputusan OPEC+ esok dan inventori mentah rasmi dari AS lewat hari ini," katanya.

Hari ini minyak mentah penanda aras Brent meningkat 1.5 peratus kepada AS$63.64 setong.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0446/0487 daripada 3.0433/0462 pada Selasa, turun berbanding pound Britain kepada 5.6605/6673 daripada 5.6258/6304 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.8993/9058 daripada 4.8708/8748.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.7877/7921 daripada 3.7948/7987.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini