Ringgit terus merosot - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika mengakhiri urus niaga Rabu berikutan kebimbangan mengenai hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC), kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan susut kepada 4.1190/1240 berbanding dolar AS daripada 4.1120/1160 pada akhir dagangan Selasa.

Seorang penganalisis berkata, pasaran diasak sentimen berhati-hati ketika pelabur terus mengambil pendirian tunggu dan lihat sama ada pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah pada paras hampir sifar dalam pemulihan ekonomi pasca-pandemik COVID-19, apabila FOMC menamatkan mesyuarat selama dua hari pada lewat Rabu.

Menurutnya, pasaran juga bimbang jika Pengerusi Fed, Jerome Powell menyatakan bahawa FOMC mempunyai mekanisme untuk campur tangan sekiranya pasaran bon terbukti tidak menentu atau berdepan kekangan pemulihan ekonomi.

Malah, pulangan bon AS dan dolar AS juga dijangka meningkat semula sekiranya kenyataan FOMC dan Powell dilihat sebagai kurang menyokong usaha menurunkan kadar faedah.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.


Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0593/0637 daripada 3.0543/0579 sebelum ini dan rendah berbanding yen kepada 3.7751/7807 daripada 3.7652/7699 pada Selasa.

Ringgit juga susut berbanding pound kepada 5.7250/7332 daripada 5.6857/6928 dan turun berbanding euro kepada 4.9053/9129 daripada 4.9044/9108, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini