Ringgit teruskan pengukuhan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan pengukuhan



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhan semalam untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan mata wang AS itu merosot susulan kebimbangan mengenai pulangan bon AS, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS kepada 4.1050/1100 daripada 4.1090/1140 ketika ditutup pada Khamis.

Penganalisis itu berkata, pemulihan dolar AS terhenti sebagai maklum balas kepada hasil perbendaharaan AS terutamanya hasil AS 10 tahun ke paras 1.67 peratus selepas melonjak tinggi ke paras 1.75 peratus pada Khamis.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata niaga hadapan Brent jatuh hampir 7.0 peratus pada Khamis susulan daripada penanda aras minyak global yang terjejas dengan purata bergerak mudah 50 hari (50-SMA).

"Pasaran bimbang bahawa kadar inflasi yang meningkat terlalu tinggi pada kadar pantas boleh mengembalikan permintaan global untuk komoditi itu.

"Niaga hadapan Brent kini mencatatkan kerugian bagi hari kelima berturut-turut, ia telah merosot lebih 10 mata peratusan daripada keuntungan setakat ini pada 2021," katanya.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0564/0603 daripada 3.0616/0663 ketika ditutup pada Khamis, dan melonjak berbanding pound kepada 5.7150/7228 daripada 5.7349/7452.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.8813/8884 daripada 4.9061/9138 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7712/7762 daripada 3.7677/7733. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini