Penurunan harga minyak beri kesan prestasi ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Penurunan harga minyak beri kesan prestasi ringgit




KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat prestasi rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Rabu berikutan penurunan harga minyak serta peralihan permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS, kata penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit susut kepada 4.1190/1230 berbanding dolar AS daripada 4.1130/1180 pada akhir urus niaga pasaran, semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes, berkata pelabur beralih kepada dolar AS sementara menunggu keadaan kembali reda susulan lonjakan terbaharu kes COVID-19 di India dan Jepun yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global.

"Mata wang berasaskan komoditi lazimnya yang paling banyak terjejas. Namun, bagi saya, keadaan ini hanya bersifat sementara," katanya kepada Bernama.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent susut 1.19 peratus kepada AS$65.78 setong berikutan perkembangan terbaharu membabitkan COVID-19.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0958/0995 daripada 3.0964/0011 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.9453/9509 daripada 4.9590/9659 sebelum ini.

Selain itu, ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7390/7462 daripada 5.7508/7594, namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.8107/8155 daripada 3.7918/7968, sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini