Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan baharu dan sejajar dengan harga minyak mentah yang kukuh, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan tinggi 20 mata asas berbanding dolar AS pada 4.1310/1350 daripada 4.1330/1370 semasa ditutup semalam.

"Ia adalah hari yang agak lengang dalam pertukaran asing, tetapi ringgit disokong oleh kenyataan yang memihak kepada kadar faedah rendah yang dibuat pada Jumaat lalu oleh Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, yang menyatakan bahawa bank pusat AS tidak tergesa-gesa untuk menaikkan kadar faedah.

"Begitu juga, harga minyak adalah stabil berikutan penanda aras minyak mentah Brent melebihi AS$63 setong, disokong oleh optimis menjelang musim panas AS dan ekonomi AS yang pulih," kata Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0810/0851 daripada 3.0800/0839 pada Jumaat lalu dan merosot berbanding yen kepada 3.7785/7832 daripada 3.7689/7733 sebelum ini.

Unit tempatan rendah berbanding pound kepada 5.6743/6807 daripada 5.6618/6685 semasa ditutup pada Jumaat lalu dan susut kepada 4.9171/9227 berbanding euro daripada 4.9141/9205 minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini