Dagangan ringgit bermula kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
JustForex

Dagangan ringgit bermula kukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada urus niaga pagi Jumaat selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar faedah pada 1.75 peratus, sekali gus menandakan pemulihan ekonomi Malaysia berjalan lancar, kata peniaga.

Pada pukul 9 pagi ini, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1190/1240 berbanding dolar AS daripada penutupan petang Khamis 4.1200/1240.

Pedagang ActiveTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata keputusan bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa akan membantu ekonomi untuk kembali berkembang.

"Keputusan bank pusat seiring dengan dasar monetari bank pusat lain di seluruh dunia iaitu mengekalkan kadar faedah yang rendah dalam usaha mengukuhkan ekonomi masing-masing, meningkatkan pekerjaan dan memerangi kesan negatif pandemik COVID-19," kata beliau kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata risiko menurun kerana mengekalkan kadar faedah mungkin menyaksikan nilai ringgit terus menyusut berbanding mata wang lain dalam tempoh beberapa hari ini.
"Dari sudut teknikal, sekiranya nilai mata wang berjaya mencecah paras 4.1250, nilai dolar AS berbanding ringgit mungkin boleh mencapai 4.1500 menjelang akhir Mei," jelas beliau.

Semalam, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) selepas mengadakan mesyuarat kali ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Menurut bank pusat itu, penunjuk terkini menunjukkan kegiatan ekonomi negara terus bertambah baik pada suku pertama dan sehingga April lalu.

BNM menambah, walaupun pelaksanaan semula langkah pembendungan di lokasi terpilih baru-baru ini akan menjejaskan kegiatan ekonomi dalam jangka pendek, kesannya kurang serius memandangkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Pada paras pembukaan pagi ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding pound Britain, ia mengukuh kepada 5.7238/7315 daripada 5.7330/7402 dan meningkat berbanding yen kepada 3.7741/7790 daripada 3.7750/7790 yang dicatatkan pada petang Khamis.
Ringgit turut menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0877/0931 daripada 3.0861/0903 dan lemah berbanding euro kepada 4.9679/9756 daripada 4.9625/9690.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini