Ringgit kembali ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali ditutup rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit merosot daripada kenaikan semalam untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan peniaga menghindari risiko susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1200/1240 berbanding dolar AS daripada 4.1150/1200 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit berada dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini walaupun Indeks Dolar AS (DXY) menyaksikan penurunan.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang ketiga hari ini, tetapi terus menunjukkan risiko kepada pertumbuhan ekonomi kekal pada aliran penurunan.

"Berdasarkan penguatkuasaan PKP di beberapa daerah utama dan di Kuala Lumpur, dijangka wujud risiko pemulihan yang lebih perlahan. Ini menyebabkan prestasi ringgit rendah hari ini," katanya.

Mengenai masa depan, katanya data mengenai pasaran buruh AS akan dipantau oleh pelabur pada minggu ini, dengan perhatian kepada data mengenai senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat ini.

Menurut beliau, kajian pekerjaan ADP menunjukkan pasaran buruh AS dalam sektor swasta adalah baik, naik sebanyak 742,000 pekerjaan pada April daripada peningkatan sebanyak 565,000 pada Mac, bagaimanapun angka itu adalah di bawah unjuran ahli ekonomi sebanyak 800,000.

"Secara keseluruhannya, kami terus menyaksikan angka yang baik dari AS dan ini boleh membawa kepada jajaran kecil dalam pasangan dolar AS/ringgit," katanya.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0861/0903 daripada 3.0799/0848 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.9625/9690 daripada 4.9392/9461.

Unit tempatan rendah berbanding yen kepada 3.7750/7790 daripada 3.7628/7677 semalam dan susut berbanding pound kepada 5.7330/7402 daripada 5.7174/7256.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini