Ringgit akhiri dagangan lebih kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit akhiri dagangan lebih kukuh



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan kebimbangan domestik mengenai kes COVID-19 yang meningkat dan terus mempengaruhi mata wang tempatan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1050/1100 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1140 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata momentum ringgit memberi laluan selepas dibuka pada kedudukan yang lebih baik hari ini berikutan peniaga berhati-hati berdasarkan kenaikan kes COVID-19 dan bimbang mengenai prospek ekonomi domestik.

Kes COVID-19 baharu di Malaysia terus melepasi paras 3,000 dengan 3,807 kes dicatatkan sejak 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 444,484 kes hari ini.

Bagaimanapun, katanya ringgit disokong oleh harga minyak yang kukuh dengan penanda aras minyak mentah Brent kini diniagakan pada AS$68 setong.

"Sementara itu, hasil Perbendaharaan AS terus kekal kukuh berikutan kebimbangan mengenai inflasi dan telah memberi sokongan kepada dolar AS menjelang laporan Indeks Harga Pengguna AS pada Rabu," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.7839/7922 daripada 5.7203/7267 pada Jumaat dan susut berbanding yen kepada 3.7740/7797 daripada 3.7662/7702 sebelum ini.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0979/1033 daripada 3.0870/0916 pada Jumaat dan merosot berbanding euro kepada 4.9925/0998 daripada 4.9632/9697.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini