Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikannya berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut berikutan harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh, kata peniaga.

Ini telah menampan kesan penyusutan unit tempatan yang selanjutnya di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Selangor.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.1170/1220 berbanding dolar US daripada 4.1200/1260 sewaktu ditutup pada Selasa.

Setakat ini, minyak mentah diniagakan pada AS$69.47 setong, meningkat sebanyak 0.86 peratus.
Rakan Kongsi Urusan Global, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata lonjakan harga minyak akan menawarkan garis hayat kepada kejatuhan ringgit apabila PKP dikuatkuasakan.

PKP 3.0 akan dilaksanakan di enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Sepang, Klang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat bermula 6 hingga 17 Mei 2021.

"Keyakinan turut ada mengenai peningkatan semula permintaan minyak susulan pembukaan semula sebahagian ekonomi," katanya.

Bagaimanapun, Stephen berkata kenaikan semula kes COVID-19 meningkatkan risiko kepada sekatan sosial yang lebih ketat yang secara umumnya menyaksikan pelabur mengurangkan aset risiko mereka di negara-negara yang merekodkan peningkatan kes pandemik itu.

Dalam perkembangan lain, pelabur juga akan memantau mesyuarat dasar monetari ketiga Bank Negara Malaysia yang mana bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar faedah pada 1.75 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang pesat membangun yang lain dengan unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0839/0879 daripada 3.0852/0902 dan tinggi berbanding yen kepada 3.7650/7699 daripada 3.7653/7711.

Bagaimanapun, berbanding pound Britain, ringgit susut kepada 5.7222/7296 daripada 5.7181/7273 dan turun berbanding euro kepada 4.9486/9551 daripada 4.9473/9549 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini