Ringgit kembali pulih, ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali pulih, ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri penurunan selama dua hari untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 4.1150/1200 berbanding dolar AS yang ditutup 4.1200/1260 pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS bagaimanapun kekal kukuh berikutan Indeks Dolar AS (DXY) berada pada aliran meningkat dalam persekitaran angka data ekonomi AS yang positif seperti Indeks Pembuatan ISM yang terus berada pada sekitar 60 mata pada Mei.

Katanya, kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen bahawa kadar faedah negara itu perlu naik untuk mengelak ekonomi berkembang pada kadar yang tidak mampan yang boleh menjejaskan ringgit, yang merosot berbanding dolar AS sejak minggu lalu.

Tumpuan kini pada keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman esok untuk menyaksikan penilaian terkini bank pusat itu mengenai ekonomi domestik, katanya.

"Ini terutama berkaitan langkah terbaharu kerajaan yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap enam daerah di Selangor, serta petunjuk oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bahawa program vaksinasi Fasa 3 mungkin tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang pada Mei.

"Oleh itu, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0799/0848 daripada 3.0852/0902 pada Selasa dan menokok berbanding euro kepada 4.9392/9461 daripada 4.9473/9549.

Unit tempatan itu naik berbanding yen kepada 3.7628/7677 daripada 3.7653/7711 semalam dan tinggi berbanding pound kepada 5.7174/7256 daripada 5.7181/7273 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini