Ringgit dibuka rendah menjelang sekatan pergerakan penuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah menjelang sekatan pergerakan penuh



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bermula esok, kata penganalisis.

Pada 9.01 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.1420/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1320/1350 semasa ditutup pada Jumaat.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pengumuman yang tanpa dijangka mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada Jumaat itu boleh menyebabkan pasaran tempatan turun naik dalam jangka masa pendek.

"Pelabur mungkin bimbang mengenai impak ekonomi daripada sekatan pergerakan dan justeru itu, akan cenderung untuk beralih kepada mata wang negara lain yang lebih stabil terutama dari segi menguruskan krisis COVID-19," katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ke atas sektor sosial dan ekonomi (fasa pertama) di seluruh negara selama dua minggu bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.

Keputusan itu dicapai selepas mengambil kira situasi COVID-19 yang terkini di Malaysia, dengan kes harian melebihi 8,000 kes dan lebih 70,000 kes aktif.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam mengumumkan 18 sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS) dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKP di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Sebanyak 13 sektor dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja sebanyak 60 peratus manakala bakinya dibenarkan beroperasi dengan 10 peratus tenaga kerja.

Berbanding mata wang utama lain, unit tempatan turut diniagakan rendah pada pembukaan.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1293/1366 daripada 3.1213/1238 semasa ditutup pada Jumaat dan susut berbanding euro kepada 5.0495/0597 daripada 5.0344/0385.
Ia turut merosot berbanding yen kepada 3.7727/7803 daripada 3.7598/7629 dan rendah berbanding pound kepada 5.8742/8859 daripada 5.8604/8651.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini