Ringgit ditutup lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini kerana kelemahan mata wang AS itu mendorong permintaan beberapa mata wang baharu, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1400/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1390/1430 semasa ditutup pada Isnin.

Penganalisis berkata, sentimen yang lebih baik juga dipacu oleh perkembangan positif dalam pelaksanaan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan kerana Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) melaporkan bahawa Malaysia mempunyai jumlah vaksin yang mencukupi untuk rakyatnya.

"Hasil Perbendaharaan AS yang lebih rendah mengheret dolar AS ke paras rendah dalam tempoh empat bulan, ia memberi sokongan lanjut kepada mata wang tempatan.

"Hasil Perbendaharaan AS adalah pemacu yang lebih ketara bagi ringgit daripada minyak mentah dan hasil AS yang lebih rendah menjadikan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) lebih menarik bagi pelabur asing," katanya.

Sebaliknya, mata wang tempatan menurun berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1238/1281 berbanding 3.1165/1207 ketika ditutup pada Isnin dan turun berbanding euro kepada 5.0727/0805 daripada 5.0602/0660 dan susut berbanding pound kepada 5.8697/8784 daripada 5.8575/8640 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan melonjak berbanding yen kepada 3.8044/8101 daripada 3.8057/8097 pada Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini