Ringgit jatuh hari kedua berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh hari kedua berturut-turut



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut hari ini susulan selera risiko yang agak rendah.

Mata wang tempatan berundur daripada pembukaan yang lebih kukuh disebabkan kenaikan harga minyak mentah Brent, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1200/1260 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin iaitu pada 4.1030/1055.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata ringgit susut lagi hari ini susulan kelemahan sentimen di seluruh Asia berikutan gelombang baharu COVID-19 yang melanda India dan beberapa negara di Asia Tenggara, mengancam jutaan nyawa dan pemulihan ekonomi di rantau ini.

"Ini menjejaskan data ekonomi positif seperti Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia, yang meningkat kepada paras tertinggi sembilan tahun iaitu 53.9 menjelang April 2021 daripada 49.9 yang dicatatkan semasa Mac 2021, tertinggi sejak Julai 2012," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, keadaan ini amat membimbangkan bagi naratif pembukaan semula Malaysia, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di ambang seperti awan gelap ke atas pasaran modal tempatan.

"Urus niaga ringgit menjadi buruk susulan kebimbangan COVID-19, sehingga menyebabkan kerajaan tidak mampunyai sebarang pilihan kecuali melaksanakan sekatan ke atas beberapa segmen ekonomi," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan dolar AS didagangkan lebih baik berbanding mata wang Kumpulan 10 (G10) disebabkan pedagang pertukaran asing mungkin menukar kedudukan mereka menjelang pengumuman laporan pekerjaan AS pada Jumaat ini yang boleh melonjakkan hasil bon negara itu dan ini akan menjejaskan lagi sentimen ringgit.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0852/0902 daripada 3.0803/0831 yang dicatatkan semalam dan merosot berbanding euro kepada 4.9473/9549 daripada 4.9441/9479.

Ringgit jatuh berbanding yen kepada 3.7653/7711 berbanding 3.7463/7490 sebelum ini dan lebih rendah berbanding pound British kepada 5.7181/7273 daripada 5.6835/6882.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini