Ringgit lemah seiring prestasi pasaran ekuiti - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lemah seiring prestasi pasaran ekuiti



KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan Isnin, seiring dengan prestasi pasaran ekuiti berikutan kekurangan minat terhadap risiko.

Menurut peniaga, mata wang ASEAN sememangnya agak sensitif terhadap aspek minat terhadap risiko secara menyeluruh serta hala tuju aliran tunai.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada paras 4.1030/1055 berbanding dolar AS daripada 4.0870/0930 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata walaupun dolar AS secara amnya lemah berbanding mata wang negara Kumpulan G-10, ringgit sebaliknya terus ditekan faktor perkembangan COVID-19 di peringkat serantau dan tempatan, termasuk laporan terbaharu mengenai kes pertama varian dari India dengan mutasi berganda di Malaysia.

"Perkembangan ini terus menjejaskan mata wang serantau (termasuk ringgit) yang menyaksikan laporan kluster dan kes baharu dilaporkan.

"Selain itu, sentimen tempatan juga dijejaskan oleh cadangan Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri yang mencatat peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19 dalam usaha membendung penularannya," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali yen Jepun.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0803/0831 daripada 3.0785/0839 pada Jumaat lalu, rendah berbanding euro kepada 4.9441/9479 daripada 4.9428/9509 serta merosot berbanding pound Britain kepada 5.6835/6882 daripada 5.6834/6930.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7463/7490 daripada 3.7520/7581 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini