Ringgit terus merosot berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot berbanding dolar AS




KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup hari ini berikutan pengukuhan mata wang AS itu selepas Rizab Persekutuan mengeluarkan minit mesyuaratnya semalam.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1445/1475 berbanding dolar AS pada 4.1360/1400 ketika ditutup hari sebelumnya.

Pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata mesyuarat terbaharu Rizab Persekutuan memberi isyarat kemungkinan adanya dasar monetari yang lebih ketat di AS memandangkan ekonomi negara itu telah menunjukkan kemajuan.

"Pelabur akan terus mengawasi data tuntutan pengangguran awal AS yang dijadualkan pada hari Khamis untuk melihat kesannya terhadap dolar AS. Angka yang lebih rendah daripada jangkaan dapat mempercepatkan aliran menaik dolar AS," katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan global SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama bahawa ringgit akan terus lemah kerana kekukuhan dolar AS telah memberi tekanan kepada ringgit ketika dibuka pagi ini.

Dalam pada itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1080/1107 daripada 3.1039/1086 pada Rabu tetapi meningkat sedikit berbanding pound Britain kepada 5.8520/8579 daripada 5.8586/8651 sebelumnya.
Mata wang tempatan lebih rendah berbanding euro kepada 5.0505/0550 daripada 5.0496/0562 semalam dan susut berbanding yen kepada 3.8030/8068 daripada 3.7882/7929.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini