KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat berikutan peningkatan minat terhadap dolar AS, mendapat rangsangan daripada data ekonomi negara itu yang menggalakkan, kata seorang peniaga.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.1275/1285 berbanding dolar AS daripada 4.1235/1250 pada Khamis.
Seorang peniaga berkata, pasaran akan memantau data pekerjaan dan senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan hari ini bagi mengukur dengan jelas pergerakan ringgit/dolar AS.
Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1076/1086 daripada 3.1154/1167 pada Khamis dan mengukuh berbanding euro kepada 5.0013/0025 daripada 5.0323/0342.
Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.7482/7494 daripada 3.7603/7620 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.8313/8327 daripada 5.8533/8559 sebelumnya.