Kenaikan harga minyak perkukuh ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
JustForex

Kenaikan harga minyak perkukuh ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mendapat rangsangan daripada peningkatan harga minyak global.

Harga penanda aras minyak mentah Brent melonjak 1.02 peratus kepada AS$70.97 setong hari ini.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1240/1250 berbanding dolar AS daripada 4.1265/1283 pada Selasa.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya bersetuju untuk meneruskan pengurangan pengeluaran secara beransur-ansur di tengah-tengah lantunan semula harga minyak, semasa mesyuarat peringkat menteri kumpulan itu yang diadakan pada 1 Jun.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata permintaan ke atas produk minyak domestik mencatatkan peningkatan semula selaras dengan usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia kecuali sektor penerbangan.

Di dalam negara, seorang peniaga berkata penurunan ringgit dijangka mereda dengan kejayaan membendung penularan pandemik COVID-19 dalam tempoh dua bulan akan datang atau ia malahan bergerak seiring dengan mata wang Asia (kecuali Jepun).

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1153/1163 daripada 3.1229/1255 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 5.0226/0238 daripada 5.0491/0514.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen kepada 3.7565/7579 daripada 3.7638/7789 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.8322/8336 daripada 5.8583/8621.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini