Pengukuhan harga minyak sokong kenaikan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pengukuhan harga minyak sokong kenaikan ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, disokong oleh pengukuhan harga minyak mentah di tengah-tengah ketidakpastian pasaran memandangkan fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara akan dilanjutkan lagi, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1485/1515 berbanding dolar AS 4.1560/1575 pada penutupan Jumaat.

Ketika ini, minyak mentah penanda aras Brent meningkat 0.35 peratus kepada AS$76.45 satu tong.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata pengukuhan harga minyak mentah Brent mungkin dapat mengatasi kebimbangan berikutan langkah kawalan pergerakan yang terus dikuatkuasakan kerana jumlah kes harian COVID-19 masih lagi melebihi 4,000 kes.

"Namun begitu, sekiranya mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) Khamis ini mengambil keputusan untuk terus melonggarkan pengurangan pengeluaran minyak mentah, ringgit mungkin boleh lemah.

"Pengeluaran yang lebih tinggi akan mengehadkan kenaikan harga minyak mentah dan ini mungkin akan memberi kesan buruk terhadap ringgit memandangkan harga minyak mentah Brent mempunyai pengaruh terhadap ringgit," katanya kepada Bernama.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7623/7664 daripada 5.7781/7802 pada penutupan Jumaat minggu lalu dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.7479/7509 daripada 3.7526/7540.

Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.9521/9556 daripada 4.9627/9645 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0901/0926 daripada 3.0964/0980 pada Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini